KD Laut I keluar dari Muara Semera
Kami mula bertolak dari muara Semera lebih kurang jam 9 pagi dan tekong kami yang bertauliah, iaitu En. Nusi sudah menunggu di dalam bot. Waktu itu, keadaan cuaca agak mendung dan gerimis mengundang sedikit. Pada mulanya, bot KD Laut I meluncur laju memecah ombak menyeberangi laut menuju ke Tanjung Pok. Keadaan yang tenang kemudiannya bertukar agak cemas kerana keadaan laut agak bergelora dan ombak setinggi 3m-4m semasa bot sedang melalui kawasan beting berhampiran Tanjung Pok. Setelah lama bot kami bertarung dengan ombak, akhirnya tekong membuat keputusan untuk melakukan ‘U turn’ kerana keadaan laut yang terlalu merbahaya untuk bot kami melaluinya. Penulis pada masa itu agak kecewa kerana menyangka trip kali ini tidak jadi tetapi rupanya tekong yang bijaksana itu telah mengubah laluan untuk tidak menempuh laut bergelora sebaliknya melalui kawasan persisiran Muara Tebas untuk ke Pulau Lakei.
Keadaan laut bergelora di muara lakei berbanding keadaan tenang pada gambar di bawah
Keadaan air laut di ‘port’ pertama kami ini agak keruh warna airnya kerana air yang deras mengikut arus pasang pada waktu itu. Kami belum menurunkan tali pancing tetapi melayan perut kami yang sudah lapar memandangkan jam sudah melepasi pukul 1. Selesai melantak nasi yang kami bawa bekal, tanpa melengahkan masa kami semua menurunkan umpan masing-masing. Umpan yang digunakan hanyalah sotong ais yang kurang segar dan dibekalkan oleh En. Aladen sebanyak 3kg. Pada awalnya, hanya getuan-getuan ikan kecil yang dirasakan. Tangkapan pertama pada trip ini diperolehi oleh En. Sahdi dengan ikan sembilang seberat 600gm seterusnya merangkul anugerah tangkapan pertama. Kira-kira 40 minit selepas itu, kedengaran suara-suara peserta yang ingin berpindah port lain kerana kurang getuan ikan di port tersebut. Ketika penulis cuba mengarau pancingnya, tiba-tiba tali joran penulis ditarik dengan deras dan terasa berat yang teramat sangat. Tali sulam Tomman 40lbs tidak henti-henti ditarik keluar oleh ikan yang disangkakan ikan pari berdasarkan pengalaman penulis sebelum ini pernah bertarung dengan pari gergasi seperti itu di Muara Iboi. Bersenjatakan joran Abu Garcia Ultra-Cast 15-40lbs dan kekili Abu Garcia Ultra-Cast 2000, pertarungan dengan pari gergasi bukanlah lawan bagi joran dan kekili tersebut kerana kelengkapan itu disasarkan ikan kategori ringan.
Pertarungan dengan ikan tersebut mengambil masa sehingga hampir sejam dan penulis sempat memberi rakan lain peluang merasa tarikan pari gergasi sambil penulis dapat berehat untuk merehatkan tangan yang agak penat. Akhirnya, penulis tidak dapat bersabar lagi seterusnya melawan tarikan yang berat tersebut dengan kuat untuk cuba menewaskan ikan tersebut. Satu kurauan penulis dibalas dengan tiga kali tarikan ikan tersebut. Selang beberapa minit kemudian, satu tarikan yang kuat menyebabkan tali sulam penulis tidak dapat bertahan lagi lalu terputus dan perlawanan tersebut telah dimenangi oleh ikan misteri itu. Kekecewaan jelas terpancar diwajah penulis dan rakan-rakan lain memandangkan impian menaikkan ikan gergasi pada trip pertama bot ini telah terkubur.
Untuk mengubati kekecewaan tadi, salah seorang ahli iaitu En. Sahdi telah mencadangkan kami beralih ke port lain iaitu di kawasan belakang pulau yang agak terlindung dari pukulan ombak. Tekong membawa bot ke lokasi yang diingini dan sauh di turunkan dengan cermat agar kedudukan bot tepat di kawasan yang disasarkan. Tanpa melengahkan masa, tarikan demi tarikan telah dinikmati oleh peserta yang rata-ratanya telah menaikkan kerapu dan ada juga yang berjaya menaikkan ikan tanda. Penulis sendiri telah menerima satu tarikan yang kuat lalu memutuskan tali sulam tomman 40lbs pada joran Abu Garcia ultra cast. Ternyata port kedua kami ini membawa hasil lumayan kerana setiap peserta ada merasa tarikan ikan kerapu yang mengasyikkan walaupun saiznya tidaklah seberapa. Anugerah ‘raja batu’ masih disandang oleh En. Aladen yang tidak putus-putus menaikkan ikan kerapu dengan teknik casting berumpankan sotong.
Tangkapan terbesar
Kerana kejadian yang telah memutuskan tali sulam penulis tadi, joran tersebut tidak diletakkan ke tepi sahaja kerana sudah 2 kali dikecewakan akibat tali slam yang kurang berkualiti walaupun kekuatan yang dinyatakan ialah 40lbs. Ternyata faktor pelaburan yang lebih perlu untuk menyediakan tali utama demi menggelak daripada kecewa dan frust menonggeng. Kira-kira pukul 7 malam, penulis yang agak sunyi daripada tarikan ikan kerapu tiba-tiba menerima satu lagi henjutan yang agak kasar dari balingan yang disasarkan berhampiran struktur batu dinding yang besar. Tarikan tersebut disambut dengan jeritan ‘Yes’ oleh penulis sebagai tanda mendapat tarikan ikan yang besar sambil rakan lain memberi ‘moral support’ dengan melaungkan jeritan ‘ada senyum’ secara berseloroh. Tarikan ikan tersebut memberi tentangan yang sengit kepada joran Abu Garcia Tournement II berkekuatan 10-20lbs dan kekili Shimano Aernos 2000.
Akhirnya, setelah bertarung dengan penuh semangat, seekor ikan minyak kira-kira 3kg (menurut panggilan tempatan seperti dinyatakan oleh Sahdi) berjaya dinaikkan. Spesimen ikan ini kali pertama dapat dinaikkan oleh penulis. Tangkapan itu secara langsung telah menaikkan semangat rakan lain untuk meneruskan balingan umpan ke kawasan tembok batu besar tersebut.
Sekitar jam 8 malam, tekong pun memberi isyarat untuk beralih tempat memandangkan air laut semakin galak melambungkan bot kami. Langit juga semakin gelap menunjukkan tanda-tanda hujan lebat bakal menemani kami malam ini. Kemudian, bot kami parking betul-betul di hadapan chalet Perhutanan untuk menggelak daripada ‘bakat’ yang besar. Walaupun parking di dalam kawasan pulau yang terlindung, bot kami masih terumbang-ambing sehingga menyebabkan beberapa rakan mula rasa mabuk. Sepanjang trip kami ke Pulau Lakei sebelum ini, tidak pernah kami menemui ombak masuk sehingga ke dalam kawasan pulau. Malam itu, tiada aktiviti pancing dapat dijalankan kerana selesai sahaja aktiviti mengisi perut, hujan renai-renai pun mula membasahi bot kami. Apa lagi, semua berpakat untuk melayan tidur sahaja sambil dibuai ombak.
Hujan sepanjang malam tadi benar-benar menguji ketabahan sebagai kaki pancing. Walaupun tidur dalam keadaan kurang selesa dan basah, tetapi penulis dapat juga tidur yang agak lena pada malam itu. Ada juga rakan mengenang betapa enaknya dapat tidur bersama isteri di rumah, namun minat mengatasi segalanya. Pagi itu cuaca masih tidak memihak kepada kami kerana hujan masih turun renai-renai. Selesai solat subuh dan sarapan pagi, kami bersiap untuk meneruskan juga aktiviti pancing walaupun hujan masih turun. Port pertama kami mencuba untuk berlabuh di dalam muara menuju ke perairan Bako. Penulis kurang bersetuju untuk berlabuh di situ kerana ketiadaan struktur batu di dasarnya. Hasilnya, hanya seekor ikan belukang berjaya dinaikkan oleh Masdi. Lebih kurang setengah jam kemudian, kami semua setuju untuk berlabuh di port hadapan tembok batu besar semalam.
Keputusan untuk berlabuh semula ke port semalam ternyata membuahkan hasil yang mana kami sekali lagi berdepan dengan tarikan ikan kerapu yang tidak jemu-jemu memakan umpan. Walaupun saiz ikan kerapu yang meragut umpan sotong kami tidaklah sebesar mana, tetapi itu sudah cukup menghiburkan hati yang sekian lama menanti keseronokan sebegini. Rata-rata saiznya hanya lebih sedikit daripada tapak tangan orang dewasa. Ada juga rakan telah menaikkan ikan berbolos (goreng pun sodap), pari reben, anak blokok (G.T) dan tetanda. Hujan yang turun renai-renai tidak diendahkan langsung oleh kami kerana terlalu asyik memegang joran sambil melayan tarikan ikan. Last kopek lah katakan sebelum kami berkira-kira untuk pulang.
Selang beberapa ketika, salah seorang rakan yang berada di buritan bot, En. Aladen telah mendapat satu tarikan yang agak liar daripada ikan. Dengan menggunakan joran Surecatch Casting dan kekili mendatar berjenama ......., dia berdepan dengan saingan sengit daripada tarikan tersebut. Beberapa minit kemudian ikan berjaya dinaikkan dan En. Aladen tersengih panjang kerana berjaya mendapat seekor lagi blokok yang beratnya lebih kurang 1kg. Ikan itu telah menambahkan harapan rakan yang lain untuk meneruskan perjuangan dengan cepat-cepat memasang umpan dan membaling dihadapan tembok batu besar. Kawasan itu semamangnya terbukti menjanjikan tarikan ikan yang menarik kerana telah beberapa kali mendapat tarikan ikan yang agak besar saiznya(bagi kategori Pulo Lakei jer).
Aladen tersenyum bangga dengan blokok 1kg
Sahdi dengan blokok 2kg
Setelah hampir 2 jam sempat memancing di port tersebut, maka kami sebulat suara membuat keputusan untuk bergerak pulang memandangkan air sedang surut maksimum dan itulah peluang kami untuk menggelak daripada bertembung dengan ombak air pasang. Hati agak keberatan untuk pulang memandangkan ikan masih galak menggamit umpan yang dilabuhkan. Tetapi, seronok-seronok juga, keselamatan tetap diutamakan. Tanpa berlengah, tekong menghidupkan engin dan set pancingan pun disimpan dan diikat kemas di atas kajang bot. Perjalanan pulang kami tidak kurang mencabar kerana ombak nampaknya lebih ganas daripada hari semalam. Tawakkal jelah.
Hasil tangkapan setelah ditolak dengan menu asam pedas untuk makan malam